Awang Hilmy calon tunggal Ketua Kampung Kawasan 3, RPN Panchor





Oleh : Khartini Hamir / Foto: Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





 

MUKIM MENTIRI, Ahad, 28 April. - Seorang ketua kampung berperanan selaku perantara dua hala di antara pihak kerajaan serta penduduk kampungnya bagi menjaga dan mengawasi kepentingan dan keselamatan kampung di bawah penjagaannya.

 

Di samping itu, seorang ketua kampung juga harus bertanggungjawab mewujudkan, memelihara dan mengekalkan persefahaman, perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat serta menggalakkan semangat bermucang-mucang dan bergotong-royong supaya ia tidak luput di makan zaman.

 

Dan, seorang ketua kampung itu juga perlu berperanan mengadakan perundingan, permuzakarahan dan permuafakatan dengan majlis perundingan kampung serta bersama anak buah kampung mengenai apa jua perkara berkebajikan khususnya untuk pembangunan, kesentosaan, kesejahteraan kampung, keselamatan dan keamanan kampung dan negara umumnya.

 

Perkara itu ditekankan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim ketika berucap di Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Kawasan 3, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor, Mukim Mentiri yang diadakan di Taman Riadah Bukit Mengkubau, di sini.

 

Pengiran Muhammad Ameer Mubarak dalam ucapannya juga turut mengingatkan penduduk kampung untuk menggunakan peluang mengundi dan memilih calon ketua kampung sebaik-baiknya dengan penuh ketelitian serta kebijaksanaan kerana pilihan yang dibuat akan menentukan masa depan pemedulian kampung seperti yang diharapkan.

 

“Untuk mencapai hasrat serta wawasan ke arah membangunkan dan memajukan kampung abiskita ini, adunan dari segi kerjasama, sokongan kuat serta perpaduan masyarakat kampung yang berterusan adalah amat diperlukan,"

 

“Di tambah lagi dengan adanya corak kepimpinan yang baik dan bijaksana daripada ketua kampung sebagai teras pemimpin masyarakat dari peringkat akar umbi, insyaaAllah kemajuan yang dihasratkan akan tercapai jua," ujar beliau lagi.

 

Pada majlis itu menyaksikan calon tunggal yang layak bagi mengisikan kekosongan jawatan Ketua Kampung Kawasan 3, RPN Panchor, Mukim Mentiri ialah Awang Hilmy bin Haji Ahmad, 53, (berusia 49 tahun semasa iklan jawatan dibukakan).

 

Beliau bermastautin di kampung berkenaan sejak tahun 2014 dan mempunyai kelulusan BDTVEC National Diploma dalam jurusan Radio, Televisyen and Electronic Technology dari Maktab Sultan Saiful Rijal.

 

Pada ketika ini beliau berkhidmat selaku Pemangku Ketua Kampung Kawasan 3, RPN Panchor, Mukim Mentiri.

 

Daripada 140 orang yang berdaftar dan layak mengundi bagi calon jawatan Ketua Kampung Kawasan 3, RPN Panchor, seramai 124 orang bersetuju (102 dari kertas undi dan 22 secara online), seramai satu orang tidak bersetuju dan tidak ada undi rosak dilaporkan.

 

Keputusan Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung yang diperoleh hari ini akan dihadapkan untuk disokong dan dipertimbangkan bagi menyandang jawatan berkenaan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk proses-proses seterusnya.

 

Terdahulu di sebelah awal pagi tadi diadakan pengundian secara kaedah kertas undi dilaksanakan bermula dari pukul 8.00 hingga 11.00 pagi, dan pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah bermula pada Jumaat, 26 April 2024 dan ditutup hari ini.

 

Close